BANGKOK: Adinda Raja Thailand, Puteri Maha Chakri Sirindhorn dikesan mengalami masalah jantung baharu selepas pulih daripada degupan jantung yang tidak normal, kata Biro Diraja dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Puteri berusia 67 tahun itu dimasukkan ke Hospital Memorial King Chulalongkorn pada 22 November lalu, di mana beliau menerima rawatan ablasi frekuensi radio untuk merawat degupan jantungnya yang tidak normal.

Pada 4 Disember, beliau dibenarkan pulang ke istana namun masih terus menerima rawatan.

Pasukan pengamal perubatan kemudian mengesan sejenis gangguan jantung baharu, namun memberi jaminan ia bersifat sementara dan akan hilang dengan sendirinya.

Puteri Maha Chakri Sirindhorn ialah puteri kedua Raja Bhumibol Adulyadej dan adik perempuan Raja Thailand, Raja Vajiralongkorn.

Sebelum ini, anak perempuan sulung Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Bajrakitiyabha, rebah akibat sakit jantung pada Rabu lalu, kata Istana Thailand.

Puteri Bajrakitiyabha rebah ketika melatih anjingnya di timur laut Bangkok.